Sunday, October 31, 2010

Wiring Dan Cabeling


Kalau enjin bertugas untuk menggerakkan vespa maka wiring dan cabeling pula ibarat nerve atau saraf yang membawa isyarat-isyarat daripada otak keseluruh badan, dan dalam hal ini kabel membawa isyarat daripada penunggang samada memerlukan enjin bergerak, brake berfungsi atau hron berbunyi, proses memasang kabel ini agak rumit kerana perlu memasukkan kabel kedalam lubang yang agak kecil, kemudian setiap kabel perlu dilabel agar kita mengetahui "kabel mana yang sepatutnya pergi kemana". Seperti biasa ahli-ahli RAG iaitu Saudara Wan Kechik dan Matt banyak membantu dalam proses memasukkan kesemua kabel dan wiring ini.

Proses Memasang Enjin

Vespa tanpa enjin ibarat manusia tanpa organ dalaman, enjinlah yang menggerakkan vespa dan tanpa enjinnya mana mungkin kecantikan vespa ini dapat dilihat oleh orang ramai. Proses menaikkan enjin vespa ini telah dibantu oleh saudara matt yang sanggup datang malam-malam buta semata-mata nak tolong kawan memasang enjin dan nak tengok vespa ni berjalan. Salah satu kelebihan menurunkan enjin semasa handak melakukan proses mengecat adalah supaya semua bahagian dicat dengan sempurna, cuba lihat bahagian dibelakang enjin tersebut, kelihatan begitu sempurna dicat dan sekiranya enjin tidak diturunkan sudah tentu kawasan tersebut tidak dapat dicat, namun begitu proses memasang kesemua kabel dan pendawaian elektrik perlulah dilakukan terlebih dahulu sebelum enjin dinaikkan. Enjin akan ditahan oleh sebatang shaft yang panjang yang dipasang menerusi "engine bush", kemudian kedua-dua hujung shaft itu diikat dengan skru, bahagian sebelah kiri enjin pula diskru kepada "shock absorber" dan jenama shock absorber yang telah menjadi pilihan aku adalah daripada jenama escort. Air Filter hose yang berwarna hitam dipasang dan dikenakan kepada lubang di Karburator. Namun begitu kerja telah sedikit tergendala kerana kekurangan pengetahuan dalam memasang "electrical wiring" di Vespa ini.

Friday, August 27, 2010

Roda-Roda

Dalam banyak-banyak motorsikal atau skuter, tayar vespa merupakan tayar yang boleh dikatakan praktikal kerana pertama ia mudah untuk dipasang, keduanya pula ia juga mudah untuk dibuka bagi membolehkan proses menukar tiub dijalankan. Setelah mengumpulkan semua barangan yang perlu pada sebuah tayar maka hari ini aku pun menjalankan kerja-kerja membina dan memasang tayar Vespa 150 ku, kalau dilihat daripada gambar sebelah, kita dapat lihat bahagian-bahagian yang sepatutnya ada pada sebuah tayar vespa iaitu terdiri daripada rim, tayar, whitewall dan juga tiub. Bagi tayar, aku telah memilih jenama FKR yang dibeli dengan harga RM 55 di Maju Jaya Motor, bagi tayar 8 inci aku telah mencuba jenama SPEC semasa perjalanan aku dari Kuala Lumpur ke Singapura, namun apabila sampai di Singapura tayar tersebut pecah, setelah dinasihatkan oleh kawan-kawan maka aku memilih jenama FKR atau Fung Keong Rubber yang diakui oleh rakan-rakan merupakan jenama yang lebih tahan lasak. Rim Vespa 150 adalah sedikit pelik daripada rim vespa lain kerana ia mempunyai bahagian seperti hub disebelah tengahnya, namun kepelikannya itu menyebabkan ianya lebih mudah dibuka. Gambar disebelah bawah menunjukkan shock absorber yang akan aku gunakan dan juga tayar vespa 150 yang sudah siap dipasang.

Monday, August 9, 2010

Steering Handle Lock

Sebelum memasang Front End iaitu fork dan bahagian hub kedalam alurnya yang terletak dibawah horn cast, kita perlu memastikan yang kunci handle tersebut adalah dalam keadaan baik atau pun dengan kata lain ditukarkan dengan yang baru, walaupun mempunyai handle lock yang original namun handle lock tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi, handle lock original tersebut adalah daripada jenama FISAM. Sebelum memulakan kerja pastikan bahagian keliling handle lock dilapik dengan "masking tape" bagi mengelakkan calar semasa menjalankan kerja. Cara memasang handle lock adalah agak "tricky" kerana handle lock tersebut tidak boleh dimasukkan daripada bahagian atas. Ianya perlu dimasukkan daripada bahagian bawah horncast, cara terbaik untuk memasukkan handle lock ini adalah dengan memasukkan tali daripada atas dan kemudian handle lock tadi diikatkan pada penghujung tali disebelah bawah, tali tersebut kemudian ditarik perlahan-lahan keatas agar handle lock tadi ditarik sampai ke lubangnya, dengan menggunakan jari handle lock tadi dimasukkan kedalam lubang secara perlahan-lahan dan pastikan ianya dalam keadaan yang betul. Setelah itu cincin pengunci dipasang kepada handle lock tadi, untuk mengetatkannya gunakan skrew driver bekepala rata dan ketukkan dilubang kecil yang terdapat pada cincin pengunci mengikut arah jam bagi mengetatkannya.

Monday, August 2, 2010

Memasang Floor Rails/Strip

Floor rails dan strip merupakan salah satu daripada bahagian yang penting kerana bahagian inilah yang menaikkan lagi imej klasik sesebuah vespa. Terdiri daripada dua komponen iaitu floor rails dan middle floor mat, bahagian ini memberikan perlindungan kepada lantai vespa daripada tercalar akibat dipijak. Gambar 1 menunjukkan lantai vespa yang belum diletakkan apa-apa dan kelihatan kosong. Gambar 2 pula menunjukkan rubber floor strip yang didatangkan dalam dua saiz, pertama saiz panjang sebanyak dua unit dan saiz pendek sebanyak 4 unit, saiz panjang adalah untuk bahagian tepi kerana bahagian tepi floor rails adalah agak panjang dan melengkung, manakala yang pendek adalah untuk 4 floor rails dibahagian tengah, jadi sekiranya anda membeli rubber floor strips ini pastikan saiznya dahulu sebelum memasangnya bagi mengelakkan kesilapan. Gambar 3 pula menunjukkan cara pemasangan floor rails, kepada yang masih belum membuat lubang sebelum proses mengecat, kita boleh juga menebuk lubang tapi perlulah dengan keadaan yang berhati-hati, cara memasangnya juga perlulah betul dimana hujung sebelah atas perlulah letakkan secara "bertingkat" yang mana floor rails paling kiri dan paling kanan perlulah diletakkan lebih rendah daripada floor rails yang lebih ketengah (sila lihat gambar 3 dan 4). Untuk memasukkan rubber floor strips ke dalam floor rails, cara yang terbaik adalah dengan memasukkan sisi sebelah kanan getah tersebut dan kemudian menekan sisi sebelah kiri dengan menggunakan screwdriver berkepala rata, Bagi mengelakkan lantai bercalar semasa membuat kerja, adalah elok sekiranya diletakkan masking tape di hujung floor rails tersebut kerana selepas di skru, bahagian inilah yang paling banyak bergerak semasa kerja-kerja memasang rubber strips dijalankan (sila lihat gambar 4). Selepas selesai memasang rubber strips ke floor rails, kuku dipasang dengan kemas mengikut jarak yang sesuai diantara satu floor rails dengan floor rails yang lain. Proses ini boleh memakan masa yang panjang sekiranya teknik yang tidak betul digunakan, namun setelah memasangnya sekali, memasangnya untuk kali kedua sudah tidak menjadi masalah lagi.

Sunday, August 1, 2010

Adidas Vespa Collection

Sebelum beralih kepada post-post yang akan datang, aku cuma ingin berkongsi tentang kasut yang baru sahaja aku beli sebentar tadi, sebenarnya semasa pelancaran barangan kolaborasi antara Adidas dan Vespa ini kami daripada "online forum" scotering.com.my telah dijemput bagi memeriahkan majlis, sejak daripada hari itu aku sudah menyimpan cita-cita untuk membeli salah satu barangan daripada koleksi Adidas Vespa ini hatta stokin sekalipun sekiranya aku tidak berkemampuan, manakan tidak, harga untuk kasut sahaja mencapai ratusan ringgit. Peluang datang apabila satu warehouse di Taman Shamelin Perkasa mengadakan "sale", pada mulanya aku kesana bukanlah untuk mencari barangan adidas, namun apabila sampai di warehouse tersebut aku terkejut melihat terdapat timbunan kasut Adidas Vespa ini dan dijual dengan separuh daripada harga pasaran. Walaupun kasut ini amat selesa dipakai, namun aku hanya ingin menjadikannya koleksi peribadi. Untuk maklumat lanjut berkenaan kasut Adidas Vespa anda boleh klik disini:-



Ataupun melihat betapa "cool"nya menunggang Vespa dengan berpakaian Adidas disini:-




Wednesday, July 28, 2010

Proses memasang "front end"

Front End bermaksud semua komponen yang terdapat pada fork vespa, disebabkan fork ini memang kosong ketika aku membelinya daripada saudara John daripada Scootering.com.my maka banyak komponen yang aku terpaksa cari atau "modify" bagi membolehkan semuanya lengkap. Pertamanya adalah arm ataupun swing arm yang telah aku ambil daripada model super, ini kerana arm daripada model super mempunyai saiz yang sama dengan arm vespa 150, kemudian arm ini dicuci dan dipasang pula dengan hub vespa 150 (sila lihat gambar 1 dan 2) supaya memudahkan untuk memasukkan rim vespa 150 nanti. Daripada segi spring pula, aku terpaksa membuat satu modifikasi kepada spring vespa super yang lebih panjang dan dipotong agar dapat dimuatkan ke fork vespa 150 yang lebih pendek. Kerja-kerja memotong spring telah dijalankan di Putrajaya Challenge Park oleh saudara "master restorer" Pa'din Musa (sila lihat gambar 3). Setelah spring dipotong beberapa gelungan barulah spring tersebut boleh dimuatkan ke fork vespa 150. Dengan terpasangnya spring tersebut maka lengkaplah bahagian suspension hadapan dan kini fork ini menanti pula untuk dipasang dengan mudguard (sila lihat gambar 5). Satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah apabila membuat restorasi warna fork perlulah sama dengan warna badan vespa kerana apabila sesebuah vespa dikeluarkan daripada kilang, warna fork adalah menyamai warna badan vespa tersebut, maka dengan itu anda dapat lihat bahawa fork vespa 150 aku berwarna putih iaitu sama dengan warna badan vespa tersebut.

Tuesday, July 27, 2010

Legshield Trims

Apabila kita merasakan yang kadangkala kita hampir putus asa untuk mencari barang asli, ketika itulah barangan asli kita temui, gambar ini menunjukkan legshiled trims yang diperbuat daripada stainless steel yang aku baru sahaja beli daripada Maju Jaya Motor di Sungei Besi, entah macam mana uncle chai masih lagi menyimpan barang ini aku pun kurang periksa, pada mulanya aku hanya menganggap bahawa legshield trim ini keluaran india, indonesia ataupun thailang namun apabila sampai sahaja dirumah setelah memeriksa keadaan barang ini maka jatuhlah plastik yang menempatkan skru yang boleh digunakan untuk memasang legshield trim ini, anggapan pada mulanya tadi ternyata salah kerana memang benar legshiled trim ini dihasilkan di Itali oleh OMEGA sebuah syarikat yang mengeluarkan barangan gantian untuk vespa dalam bentuk "aftermarket". Harga yang telah ditawarkan oleh Maju Jaya Motor untuk legshield trim ini adalah RM 58. Salah satu daripada ciri-ciri legshield trim asli adalah terletak pada sebelah kakinya yang mana terdapat potongan yang membolehkan "floor strip" atau getah lantai dimasukkan dengan sempurna. Dengan adanya legshield trim ini maka bertambahlah satu lagi barangan asli pada Vespa 150 ku ini.

Wednesday, July 21, 2010

Masalah Tulang Horncast

Ramai juga sahabat yang bertanya apakah masalah dengan tulang horncast pada Vespa 150 ini, pada mulanya horncast ini di permukaan kiri yang berdekatan dengan tempat kita meletakkan emblem piaggio tersebut, simen nya disalutkan dengan agak tebal, selepas dicat permukaan tersebut tidak seimbang diantara kiri dan kanan kerana bahagian kiri tulangnya telah tertutup manakala tulang disebelah kanan jelas kelihatan, untul menyelesaikan masalah ini, Ah Ching telah menggosok semula bahagian tersebut agar tulangnya naik semula dan kemudian mengecat bahagian tersebut sekali lagi. Gambar menunjukkan hasil setelah proses menggosok dan mengecat semula bahagian tersebut. Manakala gambar yang satu lagi menunjukkan ah ching berlatih kung fu sebelum memulakan proses mengecat, aku berjaya merakam ritual ini kerana jarang-jarang ada pelanggan yang dapat memasuki bilik penyemburan cat di Pudu Spray! Ah Ching lu memang best!

Tuesday, July 20, 2010

Memakai Baju Baru

Akhirnya penantian hampir dua bulan terbalas dengan siapnya proses mengecat oleh Pudu Spray, hasilnya bolehlah dibanggakan walaupun tidak sehebat tukang cat dalam siri "overhaulin" yang diselia oleh chip foose, namun dengan bayaran hanya RM 500 (harga kawan-kawan), aku merasa puas hati dengan hasil kerja tangan Ah Ching, terutamanya di bahagian kepuk atau "side box" yang mana aku dapat dalam keadaan yang amat teruk dengan kesan kimpalan terdapat dimana-mana. Warna putih yang menghiasi badan Vespa 150 ini bukanlah warna asal daripada colour code Vespa, tetapi warna putih toyota yang lebih terang namun masih kelihatan klasik. Walaupun terdapat dibeberapa bahagian yang tidak rata terutamanya dibahagian lantai pemijak kaki tengah kerana tidak disimen secara berlebihan namun bahagian tersebut akan ditutup dengan getah pengalas kaki bahagian tulang tengah. Masalah yang dihadapi sebelum ini iaitu tulang "horncast" yang tidak timbul akibat terlebih simen telah dapat diatasi dengan mengosokkan bahagian tersebut dengan kertas pasir dan kemudian menyemburkan cat semula. Secara keseluruhannya proses mengecat ini membawa sedikit harapan dan motivasi untuk aku meneruskan projek ini.

Monday, July 19, 2010

Front Shock Absorber

Sparepart yang dibuat di Itali sentiasa menjadi pilihan utama aku dalam membuat restorasi keatas Vespa 150 ini, gambar disebelah merupakan sebuah penyerap hentak (shock absorber) untuk bahagian depan, seperti biasa sekiranya hendak mendapatkan bahagian seperti ini, kita tidak akan mendapatkannya di kedai-kedai baru, namun nasib anda mungkin baik sekiranya menemuinya dikedai-kedai lama di pinggir bandar ataupun di daerah-daerah kecil yang kedai motornya hidup segan mati tak mahu. Penyerap hentak jenama "carbone" ini berharga RM 48, namun begitu dikotaknya tertulis RM 38 sahaja, apabila ditanya kenapa naik RM 10, towkay kedai itu menjawab bahawa harga RM 38 itu adalah pada tahun 1967.

Sunday, July 18, 2010

The Love Is In The Air

Sesetengah orang menganggap bahawa cat yang cantik pada sesebuah kenderaan perlulah dalam keadaan "berair" iaitu keadaan dimana Lacquer yang disemburkan keatas cat tersebut adalah banyak dan nampak seperti berair. Setelah bertungkus lumus menyiapkan body Vespa 150 aku, akhirnya ah ching membuat "finishing" dan meminta aku membawa balik dengan penuh berhati-hati semua bahagian badan vespa yang sudah pun disembur dengan cat berwarna putih. Gambar disebelah menunjukkan semua bahagian Vespa 150 bermula daripada side panel disebelah atas kemudian mudguard, diapit pula oleh rim dan dibawah mudguard adalah penutup glovebox serta handlebar. Memang aku memilih warna putih ini sebagai warna Vespa 150 ku kerana warna putih biasanya akan mula suram selepas beberapa ketika, maksudnya warna putih walaupun terang pada mulanya, selepas ianya dimakan waktu ia akan mula pudar. Untuk bahagian badan pula sedikit kesilapan telah berlaku dan ah ching sedang membuat pembetulan kerana tulang disebelah horncast disimen secara agak berlebihan dan telah menyebabkan tulang tersebut kelihatan sedikit tenggelam, walaupun perlu membuat sedikit kerja tambahan namun ah ching dengan tersenyum membuat pembetulan tersebut demi untuk memuaskan hati pelanggan!

Thursday, July 8, 2010

Mengilat Semula.

Sementara menunggu enjin disiapkan oleh Vespa Empire, aku mengambil kesempatan yang ada untuk mengilatkan semula bahagian-bahagian yang telah pudar kilatnya. Antaranya adalah penutup gear box, penutup carburator dan juga penutup silinder/block enjin vespa, semua benda ini bukanlah di "chrome" semula tetapi barang-barang lama yang dikutip dan dikilatkan semula bagi menjimatkan perbelanjaan restorasi Vespa 150 ini, bak kata orang tua-tua "selagi boleh pakai, jangan dibuang".

Sejenak Di Vespa Empire.

"Takde masalah tu, cuci sikit-sikit je zal" begitulah jawapan daripada Amir daripada Bengkel Vespa Empire yang terletak di Keramat AU bersebelahan dengan pusat belajar memandu IMKEDA apabila aku menyatakan hasrat untuk menghantar enjin vespa yang akan dimuatkan ke Vespa 150 ku ini. Enjin ini sebenarnya telah hampir dua tahun tidak dinyalakan, walaupun semasa enjin ini diturunkan ia masih lagi dalam peringkat "running in" iaitu peringkat dimana enjin itu baru sahaja di "overhaul" namun kerana mahukan semuanya berjalan dengan lancar, aku menaruh kepercayaan kepada Vespa Empire untuk menghidupkan semula enjin ini. Semasa tiba di Vespa Empire, saudara Amir sedang menunaikan solat zuhur, tiada bilik atau surau dibengkel ini, Amir hanya mangalas sejadah dilantai bengkel yang agak bersih, aku agak terkejut melihat situasi ini yang mana walaupun bengkel ini nampak kecil tapi Amir masih lagi menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah di lantai tempat dia mencari rezeki, semoga Allah memberkati perjuangan anak muda ini dan kawan-kawannya. Satu perkara yang menarik yang membuatkan aku menghantar enjin vespa ini ke VE adalah kerana kemudahan Engine Stand yang terdapat di bengkel ini, dengan enjin stand ini, kita hanya perlu menghantar enjin sahaja ke bengkel tanpa perlu menyangkut enjin tersebut pada badan vespa. Sila klik disini untuk menyaksikan mereka menyalakan enjin hanya diatas stand tersebut:-

http://www.youtube.com/watch?v=WD4nDQcsqkk

Perkara pertama yang dilakukan oleh pomen-pomen handalan VE adalah untuk memeriksa samada enjin aku ini mempunyai masalah atau tidak walaupun mereka telah mengetahui yang enjin ini berada dalam keadaan baik dari segi bearing (alas bebola) nya dan masih lagi dalam keadaan "running in" namun mereka tetap juga menjalankan pemeriksaan teliti agar memudahkan mereka membuat kerja-kerja selanjutnya, setelah enjin diletakkan diatas Engine Stand, enjin tersebut dinyalakan, alhamdulillah dengan hanya beberapa cubaan enjin tersebut berjaya dinyalakan dan Amir menyatakan yang enjin ini hanya perlu menjalani servis biasa iaitu pembersihan karburator dan sedikit "tuning". Aku juga meminta agar Amir dapat mengantikan "brake lining" serta memasang hub untuk Vespa 150 pada enjin ini agar memudahkan aku memasang rim/tayar Vespa 150 kelak.

Sunday, June 27, 2010

SIEM Headlight

Sekiranya kita membincangkan topik lampu untuk Vespa, jenama SIEM merupakan jenama yang didatangkan asli bersama dengan Vespa yang baru sahaja keluar daripada kilang. SIEM merupakan jenama lampu yang dimuatkan kepada hampir semua model Vespa dan Vespa 150 juga dimuatkan dengan jenama lampu buatan Itali ini, walaupun terdapat beberapa lagi jenama lampu buatan Itali yang juga boleh digunakan untuk Vespa seperti jenama Aprillia, namun jenama SIEM memang sinonim untuk Vespa dan kesukaran untuk mendapatkannya kini telah meningkatkan harganya ke tahap yang kadangkala tidak dapat diterima akal. Sekiranya Lambretta berbangga dengan lampu daripada jenama Carello dan juga CEV jenama Siem telah dimuatkan untuk hampir semua jenis Vespa daripada model GS, 150, SS. Super, Sprint, Rally dan juga PX. Lampu depan dalam gambar diatas aku dapat daripada sebuah kedai lama di pekan Semenyih, walaupun tokey kedai tersebut berkali-kali mengatakan bahawa tidak terdapat barang vespa dikedainya namun setelah mendesak beberapa kali akhirnya beliau mengeluarkan sebuah kotak usang yang mengandungi khazanah ini, pernah ada seorang kenalan ingin menjual lampu ini dengan harga hampir RM200. Beza lampu SIEM untuk Vespa 150 dan juga Vespa Super berkepala bulat adalah lambang SIEM nya terletak ditengah bagi Lampu Vespa 150 manakala bagi Vespa Super ianya terletak dibahagian bawah.

Wednesday, June 23, 2010

Menebuk Lubang Setelah Kerja Menyimen

Untuk memperkemaskan lagi hasil semburan cat nanti, aku mengambil keputusan untuk menebuk terlebih dahulu lubang-lubang yang perlu ada pada sesebuah vespa 150, ini termasuklah lubang bagi "side panel strip" dan juga lubang bagi plate number yang terletak di mudguard hadapan, disebabkan kedai ah ching tidak mempunyai drill, maka aku terpaksa membawa balik side panel dan mudguard vespa 150 aku ke RAG untuk kerja-kerja menebuk. Gambar pertama dan kedua disebelah bawah menunjukkan ukuran "side panel strip" diambil dan ditandakan dengan menggunakan masking tape, kemudian setelah kita berpuas hati dengan kedudukannya barulah kita boleh menebuk bahagian tersebut dengan berhati-hati, sebab mengapa bahagian ini ditebuk dahulu adalah kerana sekiranya proses ini dibuat selepas proses mengecat dijalankan maka bahagian yang ditebuk mungkin akan mengalami pengelupasan cat.

Tuesday, June 22, 2010

Kerja-Kerja Menyimen Bermula!

Menyimen merupakan satu proses yang penting dalam kerja-kerja mengecat samada kereta, motorsikal atau apa-apa sahaja. Sekiranya kita hendak mengecat rumah, batu-bata yang digunakan untuk membina dinding rumah tersebut akan disimen ataupun istilah lain di "plaster" sebelum dicat bagi menutup kawasan yang tidak rata pada permukaan dinding, begitu juga halnya dengan badan Vespa 150 ini, disebabkan terlalu banyak kawasan yang tidak rata, maka proses menyimen menggunakan satu bahan seperti "filler" digunakan. Ah ching secara berhati-hati menyimen kawasan yang tidak rata dan kawasan yang mempunyai parut kimpalan agar lebih memudahkan proses semburan cat dijalankan nanti, proses menyimen ini adalah kelihatan lebih mudah dijalankan keatas permukaan plastik daripada permukaan besi, permukaan besi yang keras menyebabkan simen perlu disapukan berulang-ulang kali agar kecacatan tersebut dapat ditutup. Namun begitu, sapuan simen yang terlampau banyak pula akan menutup "tulang-tulang" di badan Vespa ini yang seharusnya kelihatan, sekiranya "tulang-tulang" Vespa ini tidak timbul maka tukang cat tersebut bukanlah dikategorikan sebagai tukang cat yang handal. Aku hanya menyerahkan kerja-kerja ini kepada Ah Ching berdasarkan pengalamannya yang sudah lama menjadi tukang cat.

Monday, June 21, 2010

Proses Undercoat

Selepas sahaja selesai proses menggosok badan vespa dan juga mengimpal bahagian-bahagian yang berlubang maka kini tibalah ke proses yang seterusnya iaitu proses "undercoating", undercoating ini adalah satu proses dimana satu lapisan cat asas yang mempunyai kimia bagi menghalang proses pengaratan di semburkan ke badan Vespa. Menurut Ah Ching sekiranya badan vespa ini tidak disemburkan dengan cat undercoat maka badan vespa ini akan lebih mudah berkarat dan cat akan lebih mudah tertanggal. Hati tuan mana yang tidak gembira melihat badan vespanya sudah pun mengalami sedikit transformasi daripada keadaan asal, namun begitu Ah Ching menasihatkan supaya sekiranya ada lubang-lubang yang ingin dibuat keatas badan vespa ini adalah lebih baik lubang-lubang tersebut dibuat sebelum proses menyembur cat dijalankan. Walaupun undercoat ini nampak agak kasar, namun menurut Ah Ching, cat undercoat ini hanya untuk mengelakkan pengaratan sahaja dan selepas proses ini dijalankan, proses menyimen pula akan dijalankan agar badan vespa ini dapat diratakan permukaannya dan memudahkan proses mengecat.

Clampshell Inspiration

Walaupun merasakan bahawa projek ini amat perlahan daripada segi perlaksanaannya namun semangat yang masih ada begitu membara untuk menyiapkan projek ini, aku baru sahaja berpeluang untuk membeli dua lagi parts Vespa 150 yang agak unik iaitu Meter dan Horn, seperti biasa horn dan meter vespa 150 adalah sedikit berbeza daripada model-model vespa yang lain. Sekiranya diperhatikan daripada bentuk kedua-dua bahagian ini adalah didapati keduanya berbentuk clampshell ataupun kerang, mengapa piaggio begitu terinspirasi untuk menggunakan bentuk ini tidaklah aku ketahui, mungkin bentuk ini menjadi pelengkap kepada bentuk Vespa 150 yang agak bulat. Speedometer dalam gambar diatas adalah "reproduction" daripada speedometer asli keluaran Veglia Borletti kerana Speedometer keluaran Veglia Borletti untuk vespa 150 sudah tidak dikeluarkan lagi, manakala horn berbentuk kerang dalam gambar juga adalah reproduction kepada horn asal keluaran ICET, juga amat sukar ditemui dan sudah tidak dikeluarkan lagi. Aku rasa sedikit bertuah kerana aku dapat membeli Speedometer dan Horn ini dengan harga yang agak murah daripada harga yang ditawarkan oleh scootRS, sila layari www.scootrs.com. Harga meter tersebut adalah RM 130 manakala horn tersebut berharga RM 25.


Thursday, June 17, 2010

Getah-Getah Vespa 150


Setelah melihat dan melawat beberapa laman di Internet yang menampilkan gambar-gambar Vespa 150 maka aku telah membuat keputusan untuk memilih getah-getah yang akan menghiasi Vespa 150 aku daripada warna kelabu, ini kerana dengan cadangan untuk mengecat Vespa 150 ku dengan warna putih maka warna kelabu merupakan warna yang agak bersesuaian kerana nampak lebih mulus dan suci (chewahhh!). Getah-getah ini telah dibeli sepenuhnya dengan bantuan kawan seperjuangan aku daripada RAG iaitu saudara matt, getah-getah ini sukar untuk didapati di kedai-kedai Vespa biasa di Kuala Lumpur kerana ianya berwarna kelabu dan apa yang ada dikedai kebanyakannya berwarna hitam. Saudara Matt telah membeli getah-getah ini di Karnival Vespa/Lambretta Kuala Kangsar dan juga di Golok, Thailand. Harga semuanya menghampiri RM100, namun aku berpuas hati kerana buatannya cantik dan getahnya pula adalah tebal. Berikut adalah senarai getah-getah Vespa mengikut nombor:-

1. Getah pelapik untuk ruangan diantara kaki di lantai Vespa.
2. Getah untuk lubang fuel cork.
3. Getah Gasket untuk horn.
4. Getah Gasket untuk penutup tangki minyak
5. Getah pemijak brake pedal
6. Getah pemijak untuk kick starter
7. Getah lining lantai (besi lining perlu dicari berasingan)
8. Getah gasket lampu belakang vespa 150
9. Getah side panel vespa.

terdapat satu getah lagi yang masih belum dapat dicari iaitu throtle grip yang berwarna kelabu.

Wednesday, June 16, 2010

Goodyear Wingfoot

Hari ini aku cuma ingin kongsikan apa yang aku jumpa pada tayar vespa bersaiz 8 inci yang akan aku gunakan untuk Vespa 150 aku, agak terkejut bercampur takjub apabila melihat tayar Goodyear Wingfoot bersaiz 8 inci masih lagi terlekat pada rim vespa 150 ini. Goodyear Wingfoot mungkin sudah tidak dikeluarkan lagi atau diimport ke Malaysia lagi dan dari paras rupa tayar ini sahaja sudah menunjukkan bahawa tayar ini telah berusia puluhan tahun. Goodyear Wingfoot diambil namanya daripada logo goodyear itu sendiri iaitu lambang kaki yang mempunyai sayap, membaca kisah Charles Goodyear iaitu orang yang menjumpai cara-cara pemvulkanan tayar membuat aku takjub yang mana usaha yang tidak henti-henti akhirnya akan membuahkan kejayaan juga. Walaupun syarikat Goodyear tiada kena mengena dengan Charles Goodyear (Syarikat ini hanya mengambil nama Charles Goodyear) nama Goodyear merupakan antara tayar terbaik didunia selain daripada Bridgestone dan Pirelli. Walaupun tayar ini sudah tidak boleh digunakan lagi kerana usianya, namun aku akan tetap menyimpan tayar ini sebagai koleksi barang antik ku.

Sunday, June 13, 2010

Dari Kedai Ah Ching Ke Kedai Ah Wai

Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa "Dont judge a book by it's cover", dan sememangnya Vespa 150 aku juga tidak terkecuali daripada pepatah ini, dari segi luarannya (bila disaluti dengan cat lama) tidak kelihatan satu pun kecacatan pada badan vespa ini, namun bila kesemua lapisan cat dibuang, barulah kelihatan satu persatu kecacatan seperti lubang-lubang kecil yang disebabkan oleh kekaratan dan juga parut-parut kesan daripada kimpalan sebelum ini, setelah dinasihatkan oleh Ah Ching, aku pun menghantar badan Vespa 150 ini ke kedai Ah Wai (kawan sepermainan Ah Ching) di Pandan Mewah yang mana kedai beliau terletak betul-betul dibelakang Hospital Ampang, Ketika sampai dengan wajah yang tidak berapa puas hati Ah Wai berkata "Sori la kawan, wa memang tak buat Vespa punya", aku terpinga-pinga sementara. Setelah itu aku pun memberitahu, bahawa Ah Ching yang menyuruh aku menghantar motor ke kedainya, dengan tersenyum Ah Wai pun menyuruh aku meletakkan sahaja badan Vespa 150 tersebut di tepi kedai beliau. Sementara menunggu Ah Wai menyudahkan motor lain aku pun berjaya menangkap gambar papan tanda kedainya, tertulis "Motor Spray Mudguard Printing Works", aku pun hairan sebab tidak kelihatan satu pun mesin mencetak dalam kedai beliau. Mungkin yang dimaksudkan oleh papan tanda tersebut adalah painting works tetapi tertulis printing works. Ah Wai pun memulakan misi menutup kecacatan-kecacatan kecil pada badan vespa aku, dengan pengalaman hampir 25 tahun menurut beliau dan rangkaian hampir 70 kedai motorsikal yang menghantar motor bagi kerja-kerja mengimpal di kedai beliau, Ah Wai melakukan tugas tersebut dengan penuh keyakinan, sambil Ah Wai bekerja, aku pun melihat-lihat disekitar kedai beliau dan kelihatan sebuah motor klasik berjenama Agusta buatan Itali yang belum menjalani proses restorasi. Ah Wai mengimpal dan kemudian mengetuk bahagian yang sudah dikimpal bagi membolehkan sahabat sepermainannya Ah Ching melakukan tugas seterusnya iaitu mengecat badan vespa ini. Setelah selesai mengimpal Ah Wai hanya mengenakan bayaran sebanyak RM 40 sahaja bagi kerja-kerja yang dilakukannya (Fuhh! selamat duit aku). Kemudian badan Vespa ini dihantar semula ke Pudu Spray bagi proses seterusnya.

Friday, June 11, 2010

Swing Arm Vespa Super 150

Vespa 150 yang aku restorasi ini memang tidak didatangkan dengan parts atau bahagian yang lengkap, oleh yang demikian aku perlu mencari sendiri bahagian-bahagian yang tidak lengkap tersebut bagi melengkapkan vespa ini, salah satu daripada bahagian yang tidak lengkap pada vespa ini adalah bahagian "fork" nya. Fork adalah bahagian yang memegang tayar depan dan sistem brake depan pada sesebuah vespa, disebabkan bahagian ini tiada aku terpaksa membelinya dan bukanlah mudah untuk mendapatkan fork vespa 150. Jika kita mengantikannya dengan fork vespa dari siri yang lain seperti vespa super maka ketinggian vespa tersebut akan berubah kerana fork vespa 150 adalah lebih pendek jika dibandingkan dengan vespa yang lain. Mujur ada seorang ahli forum scootering.com.my yang telah menjualkan fork vespa 150 tersebut pada aku, namun fork tersebut perlu pula dilengkapkan dengan swing arm (seperti dalam gambar) dan juga sistem brek. Setelah mengambil beberapa nasihat daripada beberapa orang pemilik vespa 150, maka swing arm daripada model vespa super 150 telah diambil bagi mengantikan swing arm vespa 150 kerana bentuknya hampir sama cuma apa yang perlu diganti adalah shaft berskru empat yang khas untuk vespa 150, maka sebelum swing arm ini dihantar ke kedai untuk dipasang dengan shaft tersebut maka swing arm ini perlu ditanggalkan daripada fork vespa super 150 dan dibasuh. Terdapat bearing (alas bebola) yang terdapat diantara swing arm dan batang fork dan bearing ini juga perlu direkodkan saiznya bagi memudahkan pengantiannya nanti.

Friday, May 21, 2010

Ini Bukan Vespa Saya

Hari ini aku berkunjung lagi ke Markas Pudu Spray, tempat Ah Ching dan Ah lek (disebut Alex) merancang untuk menguasai dunia (dunia spray motor klasik). Dengan senyuman petang Ah Ching menyuruh aku menilai hasil kerjanya yang terbaru, ya! ini bukan motor aku, Vespa Super ini kepunyaan orang lain dan telah menghantar ke Pudu Spray untuk dicat. Pemiliknya tidak membuang cat lama badan vespa ini, dan Ah Ching hanya menyapukan paint remover sahaja untuk menanggalkan lapisan atas cat lama vespa ini, namun begitu hasilnya bolehlah dianggap memuaskan walaupun catnya kelihatan sedikit tebal akibat cat dan simen lama yang tidak dibuang terlebih dahulu. Menurut Ah Ching, "ini orang mahu cepat la, mesti buat kasi cepat, kalau saya mahu buang itu cat lama, mesti kena tambah duit lagi banyak wooo!". Bergantunglah kepada kemampuan masing-masing, namun pada aku, sekiranya cat lama tidak dibuang, maka permukaan badan yang dispray dengan cat akan kelihatan sedikit tebal, namun dengan kepakaran Ah Ching, tulang temulang dibadan Vespa Super ini masih lagi kelihatan!. Satu perkara lagi adalah Ah Ching telah membuat garisan di dada Vespa Super itu dengan Cat dan bukan dengan Sticker! untuk Vespa Super ini saya hanya boleh memberikan Ah Ching 75/100 sahaja, ok lah tu sekurang-kurangnya beliau mendapat B!

Menyimpan Skru Lama Bagi Dijadikan Rujukan

Sememangnya kita perlu belajar daripada pengalaman kawan-kawan, terutamanya yang telah beberapa kali membuat proses restorasi, contoh terbaik adalah saudara pa'din musa yang merupakan "restorer" vespa dan lambretta yang paling rapat dengan ku. Setiap kali membuat restorasi pa'din akan menyimpan barang-barang lama yang dibuka daripada sesuatu bahagian vespa atau lambretta dengan cermat untuk dijadikan rujukan.

Maka dengan pengalaman daripada Pa'din aku telah berusaha untuk menyimpan semua skru, nut dan juga bolt agar mudah untuk membuat rujukan daripada segi saiz dan rupabentuk sekiranya ingin membeli bolt, nut dan skru di kedai nanti.

Rim Vespa 150.

Seperti yang telah disebutkan dalam posting yang sebelum ini Rim untuk Vespa 150 ini memang unik dan berbeza dengan rim-rim vespa keluaran selepas tahun 1966 iaitu Vespa Super dan juga Vespa S (Vespa Sprint). Rim Vespa 150 menarik kerana terdapat dibahagian tengahnya masih lagi terdapat bahagian rim dan tidak seperti keluaran selepas tahun 1966 yang mana bahagian tengahnya adalah hub.

Rim untuk vespa 150 juga lebih mudah untuk diceraikan sekiranya tayar mengalami kebocoran kerana dengan hanya membuka skru dan menolak bahagian tengah yang mengikat 4 skru hub tersebut maka rim tersebut telah boleh diceraikan dan tiub untuk tayar boleh digantikan.

Apa yang menariknya, hub belakang Vespa 150 ini masih lagi merupakan hub gantian asli daripada Itali (Alat Ganti Tulen Itali) yang berjenama PA atau Pridieri & Abbate (untuk melawat laman PA anda boleh klik disini http://www.predierieabbate.it/inglese/inglese.php ). Setelah rim ini di buang cat lamanya, maka proses untuk mengecat rim ini dengan warna yang sama dengan warna badan vespa 150 juga akan bermula.

Friday, May 14, 2010

Vespa dan Irama Pop Yeah Yeah

Hari ini aku agak malas untuk membuat posting berkenaan dengan perkembangan projek Vespa 150 ku, kerana di hari cuti sebegini aku lebih berminat untuk "melayan" televisyen dan bermalas-malasan, terjumpa pula sebuah VCD yang telah lama aku beli namun telah menarik perhatianku untuk memasangnya semula, VCD tersebut bertajuk "Suzana@60an" yang merupakan sebuah pementasan artis-artis 60an di Istana Budaya dan diiringi oleh sebuah teater yang menampilkan banyak Vespa 150.

Tidak dapat dinafikan aku tidak pernah pun "berjumpa" dengan tahun-tahun 60an kerana dilahirkan selepas tahun 70an namun senario dan kehidupan zaman 60an begitu dekat dengan jiwa ku seperti pengaruh muziknya dan juga kenderaan-kenderaan di zaman tersebut seperti Vespa, Lambretta dan juga kereta Mini dan juga Volkswagon.

Gambar diatas merupakan dua orang penari yang menjayakan pementasan Suzana@60an bergaya diatas sebuah Vespa 150 berwarna merah kepunyaan seorang ahli Persatuan Vespa Wilayah Persekutuan (perhatikan lambang PVWP disebelah kiri). Pernah seorang Pak Cik menceritakan kepada aku yang mana di zaman mudanya, berpakaian Suit lengkap sambil menaiki Vespa merupakan satu perkara biasa kerana pada zaman tersebut kereta tidak banyak, pokok banyak di tepi jalan dan cuaca tidak sepanas zaman sekarang. Sehubungan dengan itu, gaya amat dipentingkan semasa menunggang Vespa.


Thursday, May 13, 2010

Sepagi Di "Pudu Spray Shop"


"Lu olang semua tada kesian sama saya ka", begitulah perkataan pertama yang muncul daripada mulut Ah Ching apabila aku mengarahkan beliau untuk menurunkan badan Vespa 150 daripada Toyota Unserku. Ah Ching merupakan antara seorang tukang cat yang dikenali dalam dunia motor klasik iaitu daripada jenama BSA, Norton dan juga AJS kerana selain daripada menjadi tukang cat, beliau juga merupakan peminat motor klasik dan mempunyai sebuah norton di rumahnya, Ah Ching juga merupakan seorang kenalan lama aku kerana aku sering juga menghantar Helmet, "Bodyparts" Gilera dan juga kadangkala kereta ke kedai beliau untuk disembur cat, kedai Pudu Spray ini kecil sahaja, kalau dibandingkan dengan bilik tidur kita mungkin kecil sedikit kedai ini. Namun tidak dapat dinafikan kerja tangan Ah Ching telah mendapat banyak pujian daripada peminat-peminat motorsikal termasuklah vespa (cuba lihat dalam gambar, sebuah vespa sedang menjalani proses mengecat semula). Tanpa membuang masa aku meletakkan sahaja badan Vespa dihadapan kedai beliau bagi pemeriksaan awal.

Ah Ching meminta aku masa sebulan untuk menyiapkan badan vespa ini kerana katanya "lu nampak tu, motor que sampai Bukit Bintang wooo mau kena cat, tapi lu punya pasal, gua buat motor pang yau dulu", pang yau merujuk kepada bahasa cina bermaksud "kawan". Bila aku tanyakan berapakah harga untuk mengecat vespa ini dengan selamba dia menjawab "lu bagi gua buat dulu la kawan, kalau lu puas hati lu bagi gua banyak, kalau tak lu bagi berapa lu mau". Selamatlah Ah Ching ni kawan aku, sekurang-kurangnya dapatlah dia bagi perhatian yang lebih sedikit kepada Vespa ni. Daripada pengalaman aku juga kalau nak mengecat vespa ini, kedai cat di Kuala Lumpur akan mengambil antara RM600-RM700 untuk mengecat sebuah badan Vespa.

Menghantar Badan Vespa 150 Ke Kedai Cat

Selesai sahaja proses menanggalkan cat lama di badan Vespa 150 ini, maka bermulalah pula proses untuk menghantar badan vespa ini ke kedai untuk disembur dengan cat, melalui pengalaman aku, terdapat banyak tukang cat yang handal di Kuala Lumpur, sebagai contohnya tukang cat di Kg. Padang Balang di Sentul yang telah mengecat SX150 Pa'din Musa. Namun begitu aku lebih suka menghantar Vespa 150 ini ke tempat yang berdekatan dengan rumah aku sahaja iaitu di Pudu.

Badan Vespa ini telah dimuatkan ke dalam Toyota Unser dengan berhati-hati dan dengan harapan tidak dimarahi oleh orang tersayang sekiranya terdapat kekotoran, dengan tenaga yang ada, aku berseorangan sahaja mengangkat kesemua bahagian vespa ini kedalam Unser dan Alhamdulillah muat semuanya.

Wednesday, May 12, 2010

Kerja Menanggalkan Cat Lama


Salah satu perkara yang perlu dibuat sebelum kita menghantar badan vespa untuk proses mengecat adalah menanggalkan cat lama dibadan vespa tersebut. Perkara ini dilakukan kerana beberapa sebab:-

a. Dengan membuang cat lama kita dapat mengetahui keadaan sebenar badan vespa kita, dan dalam kes aku, terdapat beberapa bahagian yang kelihatan telah dikimpal (welding) dan menunjukkan bahawa Vespa 150 ini pernah mengalami samaada kemalangan ataupun terdapat bahagian yang berkarat yang perlu dibuang. Kita juga dapat melihat sekiranya terdapat lubang-lubang kecil yang perlu disimen atau ditutup dengan mengimpal semula.

b. Membuang cat lama akan memudah dan mempercepatkan proses mengecat dan sekiranya kita bertuah kita mungkin akan mendapat harga yang lebih murah.

c. Dengan membuang cat lama juga kita dapat mengelakkan daripada kita ditipu oleh tukang cat yang mana, sekiranya cat lama tidak dibuang maka tukang cat akan hanya menyimen badan vespa dan kemudian menyemburnya dengan cat, ini akan menyebabkan badan vespa kita berat, dan cat yang disembur kelihatan tebal dan tidak menarik.

Kerja-kerja menanggalkan cat ini boleh dilakukan dengan menyapukan penanggal cat kepada badan vespa dan dibiarkan selama lebih kurang 15 minit, setelah itu proses menanggalkan cat boleh dilakukan dengan menggunakan "grinder" dan menggunakan mata bulu keluli.

Tuesday, May 11, 2010

PROJEK SUDAH BERMULA!




Beginilah keadaan badan Vespa 150 yang berjaya aku beli daripada seorang pakcik yang sudah berpatah arang untuk membuat Vespa 150 ini. Keadaannya tidaklah seteruk mana, namun masih banyak yang perlu dilakukakan untuk mentransformasikan Vespa 150 ini ke tahap yang boleh aku banggakan, beberapa bahagian badan vespa ini kelihatan sudah di kimpal (welding) mungkin kerana telah patah atau sebagainya. Namun begitu keadaan badan Vespa 150 ini amat memuaskan hati jika dibandingkan dengan projek-projek lain yang pernah dijalankan oleh kawan-kawan aku yang lain.

Kebuk/Kepuk ataupun sidepanel sebelah kiri vespa ini dipercayai telah hilang dan mujurlah apabila aku berkunjung ke kedai uncle chai di Sungai Besi, terdapat sebuah kebuk asli (original) terpakai yang ingin dijual, walaupun keadaan kebuk itu seperti pernah dikimpal namun aku gagahkan juga untuk membelinya dengan harga RM200, kalau handak bercerita pasal mahal, tidak perlulah kita membeli yang original. Kemudian adalah didapati juga bahawa fork Vespa ini juga tiada, maka setelah beberapa panggilan telefon dibuat maka seorang kawan daripada forum scootering telah menawarkan fork Vespa 150 beliau dengan harga RM 100 (Fork kosong tanpa kingpin.)

Dari semasa ke semasa aku akan cuba mengemaskinikan segala kerja-kerja yang dibuat keatas Vespa 150 ini.

Vespa 150 Anganku

Angan-angan kadangkala boleh membuatkan kita berusaha untuk mencapai apa yang kita angankan, namun begitu untuk mencapai sebuah angan-angan bukanlah perkara yang mudah kerana hanya dengan usaha dan kesabaran sahaja yang boleh merealisasikan angan-angan tersebut

Gambar diatas merupakan sebuah Vespa 150 kepunyaan seorang anak melayu daripada Singapura iaitu Saudara Yusri, Vespa ini bolehlah dianggap mempunyai Aksesori sezaman (Period Accessories) Vespa yang lengkap. Mungkin beliau membelanjakan banyak wang ringgit untuk merealisasikan misi beliau untuk menjadikan vespa 150 ini Vespa yang terhebat.

Harapan aku dalam projek ini adalah untuk mendapatkan hasil yang terbaik seperti Vespa 150 saudara Yusri ini.

Tarikan Untuk Memiliki Vespa 150

Antara Keunikan Vespa 150:-

1. Model yang tidak berbentuk "angular" dan mengekalkan ciri-ciri vespa keluaran 50an iaitu berbentuk bulat.

2. Mempunyai enjin berkuasa 150 cc, dengan keupayaan 150 cc ini Vespa 150 lebih berdaya untuk perjalanan lebih jauh.

3. Model ini dilengkapi dengan tayar 8 inci, berbeza dengan model GranSport (GS) yang mempunyai tayar 10 inci, model Vespa 150 lebih kelihatan comel daripada Vespa GS.

4. Kepala (handle bar) Vespa 150 berbentuk bulat dan mempunyai balung seperti balung ayam bapak.

5. Rim Vespa 150 berbeza dengan rim-rim Vespa keluaran selepas Vespa 150.

6. Lampu belakang Vespa 150 adalah bentuk lampu tercantik dalam semua kategori Vespa yang dikeluarkan Piaggio.

7. Vespa-vespa dalam filem-filem P.Ramlee adalah daripada model Vespa 150 sepertimana yang terdapat dalam filem Nasib Do Re Mi dan juga Alibaba Bujang Lapok.

8. Kuswadinata dalam filem Agogo 67 berjaya memikat gadis dengan hanya menaiki Vespa 150.

9. Apabila dibandingkan dengan model-model yang sukar ditemui, Vespa 150 lebih mudah didapati berbanding dengan Vespa GS dan alat gantinya masih lagi banyak dihasilkan.

10. Vespa 150 berkait rapat dengan era pop yeah yeah dan agogo yang sangat dekat dengan jiwa aku!.

Monday, May 10, 2010

Selamat Datang Vespa 150

Vespa 150 ataupun disesetengah tempat dipanggil dengan beberapa nama seperti Vespa Jobot, Vespa Ayam Bapak dan juga Vespa Kana merupakan model vespa yang amat digemari di Malaysia. Memasuki Malaya pada ketika itu sekitar awal tahun 60an, Vespa 150 mempunyai beberapa varian yang membezakan tahun buatannya. Vespa 150 amat terkenal pada ketika itu kerana Vespa 150 memasuki Malaya ketika zaman bermulanya kegemilangan berskuter dikalangan masyarakat Malaya, walaupun mempunyai saingan daripada model-model Lambretta, namun Vespa 150 tetap mendapat tempat dihati masyarakat Malaya samaada di bandar mahupun luar bandar.

Dari segi nostalgianya pula, Vespa 150 mempunyai banyak nilai sentimental kepada ramai orang , ramai bekas guru yang telah bersara menyatakan bahawa Vespa 150 merupakan kenderaan pertama mereka setelah dilantik menjadi guru, ada juga bekas polis dan tentera yang juga memiliki Vespa 150 sebagai kenderaan harian pada tahun-tahun 60an, tidak kurang juga kepada generasi yang membesar pada tahun-tahun 60an menyatakan bahawa mereka ke sekolah dengan membonceng Vespa 150 bapa mereka dan ini menyebabkan kenangan bersama Vespa 150 ini sukar dilupakan.

Namun, walau apapun nostalgia dan kenangan yang tersimpan bersama Vespa 150 ini, aku bersyukur kerana telah diberi peluang untuk memberi nafas baru kepada sebuah Vespa 150 yang berusia hampir 48 tahun pada tahun 2010 ini. Inilah kisah dan perjalanan Vespamalaya 150 ku.