Sunday, June 13, 2010

Dari Kedai Ah Ching Ke Kedai Ah Wai

Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa "Dont judge a book by it's cover", dan sememangnya Vespa 150 aku juga tidak terkecuali daripada pepatah ini, dari segi luarannya (bila disaluti dengan cat lama) tidak kelihatan satu pun kecacatan pada badan vespa ini, namun bila kesemua lapisan cat dibuang, barulah kelihatan satu persatu kecacatan seperti lubang-lubang kecil yang disebabkan oleh kekaratan dan juga parut-parut kesan daripada kimpalan sebelum ini, setelah dinasihatkan oleh Ah Ching, aku pun menghantar badan Vespa 150 ini ke kedai Ah Wai (kawan sepermainan Ah Ching) di Pandan Mewah yang mana kedai beliau terletak betul-betul dibelakang Hospital Ampang, Ketika sampai dengan wajah yang tidak berapa puas hati Ah Wai berkata "Sori la kawan, wa memang tak buat Vespa punya", aku terpinga-pinga sementara. Setelah itu aku pun memberitahu, bahawa Ah Ching yang menyuruh aku menghantar motor ke kedainya, dengan tersenyum Ah Wai pun menyuruh aku meletakkan sahaja badan Vespa 150 tersebut di tepi kedai beliau. Sementara menunggu Ah Wai menyudahkan motor lain aku pun berjaya menangkap gambar papan tanda kedainya, tertulis "Motor Spray Mudguard Printing Works", aku pun hairan sebab tidak kelihatan satu pun mesin mencetak dalam kedai beliau. Mungkin yang dimaksudkan oleh papan tanda tersebut adalah painting works tetapi tertulis printing works. Ah Wai pun memulakan misi menutup kecacatan-kecacatan kecil pada badan vespa aku, dengan pengalaman hampir 25 tahun menurut beliau dan rangkaian hampir 70 kedai motorsikal yang menghantar motor bagi kerja-kerja mengimpal di kedai beliau, Ah Wai melakukan tugas tersebut dengan penuh keyakinan, sambil Ah Wai bekerja, aku pun melihat-lihat disekitar kedai beliau dan kelihatan sebuah motor klasik berjenama Agusta buatan Itali yang belum menjalani proses restorasi. Ah Wai mengimpal dan kemudian mengetuk bahagian yang sudah dikimpal bagi membolehkan sahabat sepermainannya Ah Ching melakukan tugas seterusnya iaitu mengecat badan vespa ini. Setelah selesai mengimpal Ah Wai hanya mengenakan bayaran sebanyak RM 40 sahaja bagi kerja-kerja yang dilakukannya (Fuhh! selamat duit aku). Kemudian badan Vespa ini dihantar semula ke Pudu Spray bagi proses seterusnya.

No comments:

Post a Comment