Friday, May 21, 2010

Ini Bukan Vespa Saya

Hari ini aku berkunjung lagi ke Markas Pudu Spray, tempat Ah Ching dan Ah lek (disebut Alex) merancang untuk menguasai dunia (dunia spray motor klasik). Dengan senyuman petang Ah Ching menyuruh aku menilai hasil kerjanya yang terbaru, ya! ini bukan motor aku, Vespa Super ini kepunyaan orang lain dan telah menghantar ke Pudu Spray untuk dicat. Pemiliknya tidak membuang cat lama badan vespa ini, dan Ah Ching hanya menyapukan paint remover sahaja untuk menanggalkan lapisan atas cat lama vespa ini, namun begitu hasilnya bolehlah dianggap memuaskan walaupun catnya kelihatan sedikit tebal akibat cat dan simen lama yang tidak dibuang terlebih dahulu. Menurut Ah Ching, "ini orang mahu cepat la, mesti buat kasi cepat, kalau saya mahu buang itu cat lama, mesti kena tambah duit lagi banyak wooo!". Bergantunglah kepada kemampuan masing-masing, namun pada aku, sekiranya cat lama tidak dibuang, maka permukaan badan yang dispray dengan cat akan kelihatan sedikit tebal, namun dengan kepakaran Ah Ching, tulang temulang dibadan Vespa Super ini masih lagi kelihatan!. Satu perkara lagi adalah Ah Ching telah membuat garisan di dada Vespa Super itu dengan Cat dan bukan dengan Sticker! untuk Vespa Super ini saya hanya boleh memberikan Ah Ching 75/100 sahaja, ok lah tu sekurang-kurangnya beliau mendapat B!

Menyimpan Skru Lama Bagi Dijadikan Rujukan

Sememangnya kita perlu belajar daripada pengalaman kawan-kawan, terutamanya yang telah beberapa kali membuat proses restorasi, contoh terbaik adalah saudara pa'din musa yang merupakan "restorer" vespa dan lambretta yang paling rapat dengan ku. Setiap kali membuat restorasi pa'din akan menyimpan barang-barang lama yang dibuka daripada sesuatu bahagian vespa atau lambretta dengan cermat untuk dijadikan rujukan.

Maka dengan pengalaman daripada Pa'din aku telah berusaha untuk menyimpan semua skru, nut dan juga bolt agar mudah untuk membuat rujukan daripada segi saiz dan rupabentuk sekiranya ingin membeli bolt, nut dan skru di kedai nanti.

Rim Vespa 150.

Seperti yang telah disebutkan dalam posting yang sebelum ini Rim untuk Vespa 150 ini memang unik dan berbeza dengan rim-rim vespa keluaran selepas tahun 1966 iaitu Vespa Super dan juga Vespa S (Vespa Sprint). Rim Vespa 150 menarik kerana terdapat dibahagian tengahnya masih lagi terdapat bahagian rim dan tidak seperti keluaran selepas tahun 1966 yang mana bahagian tengahnya adalah hub.

Rim untuk vespa 150 juga lebih mudah untuk diceraikan sekiranya tayar mengalami kebocoran kerana dengan hanya membuka skru dan menolak bahagian tengah yang mengikat 4 skru hub tersebut maka rim tersebut telah boleh diceraikan dan tiub untuk tayar boleh digantikan.

Apa yang menariknya, hub belakang Vespa 150 ini masih lagi merupakan hub gantian asli daripada Itali (Alat Ganti Tulen Itali) yang berjenama PA atau Pridieri & Abbate (untuk melawat laman PA anda boleh klik disini http://www.predierieabbate.it/inglese/inglese.php ). Setelah rim ini di buang cat lamanya, maka proses untuk mengecat rim ini dengan warna yang sama dengan warna badan vespa 150 juga akan bermula.

Friday, May 14, 2010

Vespa dan Irama Pop Yeah Yeah

Hari ini aku agak malas untuk membuat posting berkenaan dengan perkembangan projek Vespa 150 ku, kerana di hari cuti sebegini aku lebih berminat untuk "melayan" televisyen dan bermalas-malasan, terjumpa pula sebuah VCD yang telah lama aku beli namun telah menarik perhatianku untuk memasangnya semula, VCD tersebut bertajuk "Suzana@60an" yang merupakan sebuah pementasan artis-artis 60an di Istana Budaya dan diiringi oleh sebuah teater yang menampilkan banyak Vespa 150.

Tidak dapat dinafikan aku tidak pernah pun "berjumpa" dengan tahun-tahun 60an kerana dilahirkan selepas tahun 70an namun senario dan kehidupan zaman 60an begitu dekat dengan jiwa ku seperti pengaruh muziknya dan juga kenderaan-kenderaan di zaman tersebut seperti Vespa, Lambretta dan juga kereta Mini dan juga Volkswagon.

Gambar diatas merupakan dua orang penari yang menjayakan pementasan Suzana@60an bergaya diatas sebuah Vespa 150 berwarna merah kepunyaan seorang ahli Persatuan Vespa Wilayah Persekutuan (perhatikan lambang PVWP disebelah kiri). Pernah seorang Pak Cik menceritakan kepada aku yang mana di zaman mudanya, berpakaian Suit lengkap sambil menaiki Vespa merupakan satu perkara biasa kerana pada zaman tersebut kereta tidak banyak, pokok banyak di tepi jalan dan cuaca tidak sepanas zaman sekarang. Sehubungan dengan itu, gaya amat dipentingkan semasa menunggang Vespa.


Thursday, May 13, 2010

Sepagi Di "Pudu Spray Shop"


"Lu olang semua tada kesian sama saya ka", begitulah perkataan pertama yang muncul daripada mulut Ah Ching apabila aku mengarahkan beliau untuk menurunkan badan Vespa 150 daripada Toyota Unserku. Ah Ching merupakan antara seorang tukang cat yang dikenali dalam dunia motor klasik iaitu daripada jenama BSA, Norton dan juga AJS kerana selain daripada menjadi tukang cat, beliau juga merupakan peminat motor klasik dan mempunyai sebuah norton di rumahnya, Ah Ching juga merupakan seorang kenalan lama aku kerana aku sering juga menghantar Helmet, "Bodyparts" Gilera dan juga kadangkala kereta ke kedai beliau untuk disembur cat, kedai Pudu Spray ini kecil sahaja, kalau dibandingkan dengan bilik tidur kita mungkin kecil sedikit kedai ini. Namun tidak dapat dinafikan kerja tangan Ah Ching telah mendapat banyak pujian daripada peminat-peminat motorsikal termasuklah vespa (cuba lihat dalam gambar, sebuah vespa sedang menjalani proses mengecat semula). Tanpa membuang masa aku meletakkan sahaja badan Vespa dihadapan kedai beliau bagi pemeriksaan awal.

Ah Ching meminta aku masa sebulan untuk menyiapkan badan vespa ini kerana katanya "lu nampak tu, motor que sampai Bukit Bintang wooo mau kena cat, tapi lu punya pasal, gua buat motor pang yau dulu", pang yau merujuk kepada bahasa cina bermaksud "kawan". Bila aku tanyakan berapakah harga untuk mengecat vespa ini dengan selamba dia menjawab "lu bagi gua buat dulu la kawan, kalau lu puas hati lu bagi gua banyak, kalau tak lu bagi berapa lu mau". Selamatlah Ah Ching ni kawan aku, sekurang-kurangnya dapatlah dia bagi perhatian yang lebih sedikit kepada Vespa ni. Daripada pengalaman aku juga kalau nak mengecat vespa ini, kedai cat di Kuala Lumpur akan mengambil antara RM600-RM700 untuk mengecat sebuah badan Vespa.

Menghantar Badan Vespa 150 Ke Kedai Cat

Selesai sahaja proses menanggalkan cat lama di badan Vespa 150 ini, maka bermulalah pula proses untuk menghantar badan vespa ini ke kedai untuk disembur dengan cat, melalui pengalaman aku, terdapat banyak tukang cat yang handal di Kuala Lumpur, sebagai contohnya tukang cat di Kg. Padang Balang di Sentul yang telah mengecat SX150 Pa'din Musa. Namun begitu aku lebih suka menghantar Vespa 150 ini ke tempat yang berdekatan dengan rumah aku sahaja iaitu di Pudu.

Badan Vespa ini telah dimuatkan ke dalam Toyota Unser dengan berhati-hati dan dengan harapan tidak dimarahi oleh orang tersayang sekiranya terdapat kekotoran, dengan tenaga yang ada, aku berseorangan sahaja mengangkat kesemua bahagian vespa ini kedalam Unser dan Alhamdulillah muat semuanya.

Wednesday, May 12, 2010

Kerja Menanggalkan Cat Lama


Salah satu perkara yang perlu dibuat sebelum kita menghantar badan vespa untuk proses mengecat adalah menanggalkan cat lama dibadan vespa tersebut. Perkara ini dilakukan kerana beberapa sebab:-

a. Dengan membuang cat lama kita dapat mengetahui keadaan sebenar badan vespa kita, dan dalam kes aku, terdapat beberapa bahagian yang kelihatan telah dikimpal (welding) dan menunjukkan bahawa Vespa 150 ini pernah mengalami samaada kemalangan ataupun terdapat bahagian yang berkarat yang perlu dibuang. Kita juga dapat melihat sekiranya terdapat lubang-lubang kecil yang perlu disimen atau ditutup dengan mengimpal semula.

b. Membuang cat lama akan memudah dan mempercepatkan proses mengecat dan sekiranya kita bertuah kita mungkin akan mendapat harga yang lebih murah.

c. Dengan membuang cat lama juga kita dapat mengelakkan daripada kita ditipu oleh tukang cat yang mana, sekiranya cat lama tidak dibuang maka tukang cat akan hanya menyimen badan vespa dan kemudian menyemburnya dengan cat, ini akan menyebabkan badan vespa kita berat, dan cat yang disembur kelihatan tebal dan tidak menarik.

Kerja-kerja menanggalkan cat ini boleh dilakukan dengan menyapukan penanggal cat kepada badan vespa dan dibiarkan selama lebih kurang 15 minit, setelah itu proses menanggalkan cat boleh dilakukan dengan menggunakan "grinder" dan menggunakan mata bulu keluli.

Tuesday, May 11, 2010

PROJEK SUDAH BERMULA!




Beginilah keadaan badan Vespa 150 yang berjaya aku beli daripada seorang pakcik yang sudah berpatah arang untuk membuat Vespa 150 ini. Keadaannya tidaklah seteruk mana, namun masih banyak yang perlu dilakukakan untuk mentransformasikan Vespa 150 ini ke tahap yang boleh aku banggakan, beberapa bahagian badan vespa ini kelihatan sudah di kimpal (welding) mungkin kerana telah patah atau sebagainya. Namun begitu keadaan badan Vespa 150 ini amat memuaskan hati jika dibandingkan dengan projek-projek lain yang pernah dijalankan oleh kawan-kawan aku yang lain.

Kebuk/Kepuk ataupun sidepanel sebelah kiri vespa ini dipercayai telah hilang dan mujurlah apabila aku berkunjung ke kedai uncle chai di Sungai Besi, terdapat sebuah kebuk asli (original) terpakai yang ingin dijual, walaupun keadaan kebuk itu seperti pernah dikimpal namun aku gagahkan juga untuk membelinya dengan harga RM200, kalau handak bercerita pasal mahal, tidak perlulah kita membeli yang original. Kemudian adalah didapati juga bahawa fork Vespa ini juga tiada, maka setelah beberapa panggilan telefon dibuat maka seorang kawan daripada forum scootering telah menawarkan fork Vespa 150 beliau dengan harga RM 100 (Fork kosong tanpa kingpin.)

Dari semasa ke semasa aku akan cuba mengemaskinikan segala kerja-kerja yang dibuat keatas Vespa 150 ini.

Vespa 150 Anganku

Angan-angan kadangkala boleh membuatkan kita berusaha untuk mencapai apa yang kita angankan, namun begitu untuk mencapai sebuah angan-angan bukanlah perkara yang mudah kerana hanya dengan usaha dan kesabaran sahaja yang boleh merealisasikan angan-angan tersebut

Gambar diatas merupakan sebuah Vespa 150 kepunyaan seorang anak melayu daripada Singapura iaitu Saudara Yusri, Vespa ini bolehlah dianggap mempunyai Aksesori sezaman (Period Accessories) Vespa yang lengkap. Mungkin beliau membelanjakan banyak wang ringgit untuk merealisasikan misi beliau untuk menjadikan vespa 150 ini Vespa yang terhebat.

Harapan aku dalam projek ini adalah untuk mendapatkan hasil yang terbaik seperti Vespa 150 saudara Yusri ini.

Tarikan Untuk Memiliki Vespa 150

Antara Keunikan Vespa 150:-

1. Model yang tidak berbentuk "angular" dan mengekalkan ciri-ciri vespa keluaran 50an iaitu berbentuk bulat.

2. Mempunyai enjin berkuasa 150 cc, dengan keupayaan 150 cc ini Vespa 150 lebih berdaya untuk perjalanan lebih jauh.

3. Model ini dilengkapi dengan tayar 8 inci, berbeza dengan model GranSport (GS) yang mempunyai tayar 10 inci, model Vespa 150 lebih kelihatan comel daripada Vespa GS.

4. Kepala (handle bar) Vespa 150 berbentuk bulat dan mempunyai balung seperti balung ayam bapak.

5. Rim Vespa 150 berbeza dengan rim-rim Vespa keluaran selepas Vespa 150.

6. Lampu belakang Vespa 150 adalah bentuk lampu tercantik dalam semua kategori Vespa yang dikeluarkan Piaggio.

7. Vespa-vespa dalam filem-filem P.Ramlee adalah daripada model Vespa 150 sepertimana yang terdapat dalam filem Nasib Do Re Mi dan juga Alibaba Bujang Lapok.

8. Kuswadinata dalam filem Agogo 67 berjaya memikat gadis dengan hanya menaiki Vespa 150.

9. Apabila dibandingkan dengan model-model yang sukar ditemui, Vespa 150 lebih mudah didapati berbanding dengan Vespa GS dan alat gantinya masih lagi banyak dihasilkan.

10. Vespa 150 berkait rapat dengan era pop yeah yeah dan agogo yang sangat dekat dengan jiwa aku!.

Monday, May 10, 2010

Selamat Datang Vespa 150

Vespa 150 ataupun disesetengah tempat dipanggil dengan beberapa nama seperti Vespa Jobot, Vespa Ayam Bapak dan juga Vespa Kana merupakan model vespa yang amat digemari di Malaysia. Memasuki Malaya pada ketika itu sekitar awal tahun 60an, Vespa 150 mempunyai beberapa varian yang membezakan tahun buatannya. Vespa 150 amat terkenal pada ketika itu kerana Vespa 150 memasuki Malaya ketika zaman bermulanya kegemilangan berskuter dikalangan masyarakat Malaya, walaupun mempunyai saingan daripada model-model Lambretta, namun Vespa 150 tetap mendapat tempat dihati masyarakat Malaya samaada di bandar mahupun luar bandar.

Dari segi nostalgianya pula, Vespa 150 mempunyai banyak nilai sentimental kepada ramai orang , ramai bekas guru yang telah bersara menyatakan bahawa Vespa 150 merupakan kenderaan pertama mereka setelah dilantik menjadi guru, ada juga bekas polis dan tentera yang juga memiliki Vespa 150 sebagai kenderaan harian pada tahun-tahun 60an, tidak kurang juga kepada generasi yang membesar pada tahun-tahun 60an menyatakan bahawa mereka ke sekolah dengan membonceng Vespa 150 bapa mereka dan ini menyebabkan kenangan bersama Vespa 150 ini sukar dilupakan.

Namun, walau apapun nostalgia dan kenangan yang tersimpan bersama Vespa 150 ini, aku bersyukur kerana telah diberi peluang untuk memberi nafas baru kepada sebuah Vespa 150 yang berusia hampir 48 tahun pada tahun 2010 ini. Inilah kisah dan perjalanan Vespamalaya 150 ku.