Wednesday, July 28, 2010

Proses memasang "front end"

Front End bermaksud semua komponen yang terdapat pada fork vespa, disebabkan fork ini memang kosong ketika aku membelinya daripada saudara John daripada Scootering.com.my maka banyak komponen yang aku terpaksa cari atau "modify" bagi membolehkan semuanya lengkap. Pertamanya adalah arm ataupun swing arm yang telah aku ambil daripada model super, ini kerana arm daripada model super mempunyai saiz yang sama dengan arm vespa 150, kemudian arm ini dicuci dan dipasang pula dengan hub vespa 150 (sila lihat gambar 1 dan 2) supaya memudahkan untuk memasukkan rim vespa 150 nanti. Daripada segi spring pula, aku terpaksa membuat satu modifikasi kepada spring vespa super yang lebih panjang dan dipotong agar dapat dimuatkan ke fork vespa 150 yang lebih pendek. Kerja-kerja memotong spring telah dijalankan di Putrajaya Challenge Park oleh saudara "master restorer" Pa'din Musa (sila lihat gambar 3). Setelah spring dipotong beberapa gelungan barulah spring tersebut boleh dimuatkan ke fork vespa 150. Dengan terpasangnya spring tersebut maka lengkaplah bahagian suspension hadapan dan kini fork ini menanti pula untuk dipasang dengan mudguard (sila lihat gambar 5). Satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah apabila membuat restorasi warna fork perlulah sama dengan warna badan vespa kerana apabila sesebuah vespa dikeluarkan daripada kilang, warna fork adalah menyamai warna badan vespa tersebut, maka dengan itu anda dapat lihat bahawa fork vespa 150 aku berwarna putih iaitu sama dengan warna badan vespa tersebut.

Tuesday, July 27, 2010

Legshield Trims

Apabila kita merasakan yang kadangkala kita hampir putus asa untuk mencari barang asli, ketika itulah barangan asli kita temui, gambar ini menunjukkan legshiled trims yang diperbuat daripada stainless steel yang aku baru sahaja beli daripada Maju Jaya Motor di Sungei Besi, entah macam mana uncle chai masih lagi menyimpan barang ini aku pun kurang periksa, pada mulanya aku hanya menganggap bahawa legshield trim ini keluaran india, indonesia ataupun thailang namun apabila sampai sahaja dirumah setelah memeriksa keadaan barang ini maka jatuhlah plastik yang menempatkan skru yang boleh digunakan untuk memasang legshield trim ini, anggapan pada mulanya tadi ternyata salah kerana memang benar legshiled trim ini dihasilkan di Itali oleh OMEGA sebuah syarikat yang mengeluarkan barangan gantian untuk vespa dalam bentuk "aftermarket". Harga yang telah ditawarkan oleh Maju Jaya Motor untuk legshield trim ini adalah RM 58. Salah satu daripada ciri-ciri legshield trim asli adalah terletak pada sebelah kakinya yang mana terdapat potongan yang membolehkan "floor strip" atau getah lantai dimasukkan dengan sempurna. Dengan adanya legshield trim ini maka bertambahlah satu lagi barangan asli pada Vespa 150 ku ini.

Wednesday, July 21, 2010

Masalah Tulang Horncast

Ramai juga sahabat yang bertanya apakah masalah dengan tulang horncast pada Vespa 150 ini, pada mulanya horncast ini di permukaan kiri yang berdekatan dengan tempat kita meletakkan emblem piaggio tersebut, simen nya disalutkan dengan agak tebal, selepas dicat permukaan tersebut tidak seimbang diantara kiri dan kanan kerana bahagian kiri tulangnya telah tertutup manakala tulang disebelah kanan jelas kelihatan, untul menyelesaikan masalah ini, Ah Ching telah menggosok semula bahagian tersebut agar tulangnya naik semula dan kemudian mengecat bahagian tersebut sekali lagi. Gambar menunjukkan hasil setelah proses menggosok dan mengecat semula bahagian tersebut. Manakala gambar yang satu lagi menunjukkan ah ching berlatih kung fu sebelum memulakan proses mengecat, aku berjaya merakam ritual ini kerana jarang-jarang ada pelanggan yang dapat memasuki bilik penyemburan cat di Pudu Spray! Ah Ching lu memang best!

Tuesday, July 20, 2010

Memakai Baju Baru

Akhirnya penantian hampir dua bulan terbalas dengan siapnya proses mengecat oleh Pudu Spray, hasilnya bolehlah dibanggakan walaupun tidak sehebat tukang cat dalam siri "overhaulin" yang diselia oleh chip foose, namun dengan bayaran hanya RM 500 (harga kawan-kawan), aku merasa puas hati dengan hasil kerja tangan Ah Ching, terutamanya di bahagian kepuk atau "side box" yang mana aku dapat dalam keadaan yang amat teruk dengan kesan kimpalan terdapat dimana-mana. Warna putih yang menghiasi badan Vespa 150 ini bukanlah warna asal daripada colour code Vespa, tetapi warna putih toyota yang lebih terang namun masih kelihatan klasik. Walaupun terdapat dibeberapa bahagian yang tidak rata terutamanya dibahagian lantai pemijak kaki tengah kerana tidak disimen secara berlebihan namun bahagian tersebut akan ditutup dengan getah pengalas kaki bahagian tulang tengah. Masalah yang dihadapi sebelum ini iaitu tulang "horncast" yang tidak timbul akibat terlebih simen telah dapat diatasi dengan mengosokkan bahagian tersebut dengan kertas pasir dan kemudian menyemburkan cat semula. Secara keseluruhannya proses mengecat ini membawa sedikit harapan dan motivasi untuk aku meneruskan projek ini.

Monday, July 19, 2010

Front Shock Absorber

Sparepart yang dibuat di Itali sentiasa menjadi pilihan utama aku dalam membuat restorasi keatas Vespa 150 ini, gambar disebelah merupakan sebuah penyerap hentak (shock absorber) untuk bahagian depan, seperti biasa sekiranya hendak mendapatkan bahagian seperti ini, kita tidak akan mendapatkannya di kedai-kedai baru, namun nasib anda mungkin baik sekiranya menemuinya dikedai-kedai lama di pinggir bandar ataupun di daerah-daerah kecil yang kedai motornya hidup segan mati tak mahu. Penyerap hentak jenama "carbone" ini berharga RM 48, namun begitu dikotaknya tertulis RM 38 sahaja, apabila ditanya kenapa naik RM 10, towkay kedai itu menjawab bahawa harga RM 38 itu adalah pada tahun 1967.

Sunday, July 18, 2010

The Love Is In The Air

Sesetengah orang menganggap bahawa cat yang cantik pada sesebuah kenderaan perlulah dalam keadaan "berair" iaitu keadaan dimana Lacquer yang disemburkan keatas cat tersebut adalah banyak dan nampak seperti berair. Setelah bertungkus lumus menyiapkan body Vespa 150 aku, akhirnya ah ching membuat "finishing" dan meminta aku membawa balik dengan penuh berhati-hati semua bahagian badan vespa yang sudah pun disembur dengan cat berwarna putih. Gambar disebelah menunjukkan semua bahagian Vespa 150 bermula daripada side panel disebelah atas kemudian mudguard, diapit pula oleh rim dan dibawah mudguard adalah penutup glovebox serta handlebar. Memang aku memilih warna putih ini sebagai warna Vespa 150 ku kerana warna putih biasanya akan mula suram selepas beberapa ketika, maksudnya warna putih walaupun terang pada mulanya, selepas ianya dimakan waktu ia akan mula pudar. Untuk bahagian badan pula sedikit kesilapan telah berlaku dan ah ching sedang membuat pembetulan kerana tulang disebelah horncast disimen secara agak berlebihan dan telah menyebabkan tulang tersebut kelihatan sedikit tenggelam, walaupun perlu membuat sedikit kerja tambahan namun ah ching dengan tersenyum membuat pembetulan tersebut demi untuk memuaskan hati pelanggan!

Thursday, July 8, 2010

Mengilat Semula.

Sementara menunggu enjin disiapkan oleh Vespa Empire, aku mengambil kesempatan yang ada untuk mengilatkan semula bahagian-bahagian yang telah pudar kilatnya. Antaranya adalah penutup gear box, penutup carburator dan juga penutup silinder/block enjin vespa, semua benda ini bukanlah di "chrome" semula tetapi barang-barang lama yang dikutip dan dikilatkan semula bagi menjimatkan perbelanjaan restorasi Vespa 150 ini, bak kata orang tua-tua "selagi boleh pakai, jangan dibuang".

Sejenak Di Vespa Empire.

"Takde masalah tu, cuci sikit-sikit je zal" begitulah jawapan daripada Amir daripada Bengkel Vespa Empire yang terletak di Keramat AU bersebelahan dengan pusat belajar memandu IMKEDA apabila aku menyatakan hasrat untuk menghantar enjin vespa yang akan dimuatkan ke Vespa 150 ku ini. Enjin ini sebenarnya telah hampir dua tahun tidak dinyalakan, walaupun semasa enjin ini diturunkan ia masih lagi dalam peringkat "running in" iaitu peringkat dimana enjin itu baru sahaja di "overhaul" namun kerana mahukan semuanya berjalan dengan lancar, aku menaruh kepercayaan kepada Vespa Empire untuk menghidupkan semula enjin ini. Semasa tiba di Vespa Empire, saudara Amir sedang menunaikan solat zuhur, tiada bilik atau surau dibengkel ini, Amir hanya mangalas sejadah dilantai bengkel yang agak bersih, aku agak terkejut melihat situasi ini yang mana walaupun bengkel ini nampak kecil tapi Amir masih lagi menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah di lantai tempat dia mencari rezeki, semoga Allah memberkati perjuangan anak muda ini dan kawan-kawannya. Satu perkara yang menarik yang membuatkan aku menghantar enjin vespa ini ke VE adalah kerana kemudahan Engine Stand yang terdapat di bengkel ini, dengan enjin stand ini, kita hanya perlu menghantar enjin sahaja ke bengkel tanpa perlu menyangkut enjin tersebut pada badan vespa. Sila klik disini untuk menyaksikan mereka menyalakan enjin hanya diatas stand tersebut:-

http://www.youtube.com/watch?v=WD4nDQcsqkk

Perkara pertama yang dilakukan oleh pomen-pomen handalan VE adalah untuk memeriksa samada enjin aku ini mempunyai masalah atau tidak walaupun mereka telah mengetahui yang enjin ini berada dalam keadaan baik dari segi bearing (alas bebola) nya dan masih lagi dalam keadaan "running in" namun mereka tetap juga menjalankan pemeriksaan teliti agar memudahkan mereka membuat kerja-kerja selanjutnya, setelah enjin diletakkan diatas Engine Stand, enjin tersebut dinyalakan, alhamdulillah dengan hanya beberapa cubaan enjin tersebut berjaya dinyalakan dan Amir menyatakan yang enjin ini hanya perlu menjalani servis biasa iaitu pembersihan karburator dan sedikit "tuning". Aku juga meminta agar Amir dapat mengantikan "brake lining" serta memasang hub untuk Vespa 150 pada enjin ini agar memudahkan aku memasang rim/tayar Vespa 150 kelak.