Sunday, June 27, 2010

SIEM Headlight

Sekiranya kita membincangkan topik lampu untuk Vespa, jenama SIEM merupakan jenama yang didatangkan asli bersama dengan Vespa yang baru sahaja keluar daripada kilang. SIEM merupakan jenama lampu yang dimuatkan kepada hampir semua model Vespa dan Vespa 150 juga dimuatkan dengan jenama lampu buatan Itali ini, walaupun terdapat beberapa lagi jenama lampu buatan Itali yang juga boleh digunakan untuk Vespa seperti jenama Aprillia, namun jenama SIEM memang sinonim untuk Vespa dan kesukaran untuk mendapatkannya kini telah meningkatkan harganya ke tahap yang kadangkala tidak dapat diterima akal. Sekiranya Lambretta berbangga dengan lampu daripada jenama Carello dan juga CEV jenama Siem telah dimuatkan untuk hampir semua jenis Vespa daripada model GS, 150, SS. Super, Sprint, Rally dan juga PX. Lampu depan dalam gambar diatas aku dapat daripada sebuah kedai lama di pekan Semenyih, walaupun tokey kedai tersebut berkali-kali mengatakan bahawa tidak terdapat barang vespa dikedainya namun setelah mendesak beberapa kali akhirnya beliau mengeluarkan sebuah kotak usang yang mengandungi khazanah ini, pernah ada seorang kenalan ingin menjual lampu ini dengan harga hampir RM200. Beza lampu SIEM untuk Vespa 150 dan juga Vespa Super berkepala bulat adalah lambang SIEM nya terletak ditengah bagi Lampu Vespa 150 manakala bagi Vespa Super ianya terletak dibahagian bawah.

Wednesday, June 23, 2010

Menebuk Lubang Setelah Kerja Menyimen

Untuk memperkemaskan lagi hasil semburan cat nanti, aku mengambil keputusan untuk menebuk terlebih dahulu lubang-lubang yang perlu ada pada sesebuah vespa 150, ini termasuklah lubang bagi "side panel strip" dan juga lubang bagi plate number yang terletak di mudguard hadapan, disebabkan kedai ah ching tidak mempunyai drill, maka aku terpaksa membawa balik side panel dan mudguard vespa 150 aku ke RAG untuk kerja-kerja menebuk. Gambar pertama dan kedua disebelah bawah menunjukkan ukuran "side panel strip" diambil dan ditandakan dengan menggunakan masking tape, kemudian setelah kita berpuas hati dengan kedudukannya barulah kita boleh menebuk bahagian tersebut dengan berhati-hati, sebab mengapa bahagian ini ditebuk dahulu adalah kerana sekiranya proses ini dibuat selepas proses mengecat dijalankan maka bahagian yang ditebuk mungkin akan mengalami pengelupasan cat.

Tuesday, June 22, 2010

Kerja-Kerja Menyimen Bermula!

Menyimen merupakan satu proses yang penting dalam kerja-kerja mengecat samada kereta, motorsikal atau apa-apa sahaja. Sekiranya kita hendak mengecat rumah, batu-bata yang digunakan untuk membina dinding rumah tersebut akan disimen ataupun istilah lain di "plaster" sebelum dicat bagi menutup kawasan yang tidak rata pada permukaan dinding, begitu juga halnya dengan badan Vespa 150 ini, disebabkan terlalu banyak kawasan yang tidak rata, maka proses menyimen menggunakan satu bahan seperti "filler" digunakan. Ah ching secara berhati-hati menyimen kawasan yang tidak rata dan kawasan yang mempunyai parut kimpalan agar lebih memudahkan proses semburan cat dijalankan nanti, proses menyimen ini adalah kelihatan lebih mudah dijalankan keatas permukaan plastik daripada permukaan besi, permukaan besi yang keras menyebabkan simen perlu disapukan berulang-ulang kali agar kecacatan tersebut dapat ditutup. Namun begitu, sapuan simen yang terlampau banyak pula akan menutup "tulang-tulang" di badan Vespa ini yang seharusnya kelihatan, sekiranya "tulang-tulang" Vespa ini tidak timbul maka tukang cat tersebut bukanlah dikategorikan sebagai tukang cat yang handal. Aku hanya menyerahkan kerja-kerja ini kepada Ah Ching berdasarkan pengalamannya yang sudah lama menjadi tukang cat.

Monday, June 21, 2010

Proses Undercoat

Selepas sahaja selesai proses menggosok badan vespa dan juga mengimpal bahagian-bahagian yang berlubang maka kini tibalah ke proses yang seterusnya iaitu proses "undercoating", undercoating ini adalah satu proses dimana satu lapisan cat asas yang mempunyai kimia bagi menghalang proses pengaratan di semburkan ke badan Vespa. Menurut Ah Ching sekiranya badan vespa ini tidak disemburkan dengan cat undercoat maka badan vespa ini akan lebih mudah berkarat dan cat akan lebih mudah tertanggal. Hati tuan mana yang tidak gembira melihat badan vespanya sudah pun mengalami sedikit transformasi daripada keadaan asal, namun begitu Ah Ching menasihatkan supaya sekiranya ada lubang-lubang yang ingin dibuat keatas badan vespa ini adalah lebih baik lubang-lubang tersebut dibuat sebelum proses menyembur cat dijalankan. Walaupun undercoat ini nampak agak kasar, namun menurut Ah Ching, cat undercoat ini hanya untuk mengelakkan pengaratan sahaja dan selepas proses ini dijalankan, proses menyimen pula akan dijalankan agar badan vespa ini dapat diratakan permukaannya dan memudahkan proses mengecat.

Clampshell Inspiration

Walaupun merasakan bahawa projek ini amat perlahan daripada segi perlaksanaannya namun semangat yang masih ada begitu membara untuk menyiapkan projek ini, aku baru sahaja berpeluang untuk membeli dua lagi parts Vespa 150 yang agak unik iaitu Meter dan Horn, seperti biasa horn dan meter vespa 150 adalah sedikit berbeza daripada model-model vespa yang lain. Sekiranya diperhatikan daripada bentuk kedua-dua bahagian ini adalah didapati keduanya berbentuk clampshell ataupun kerang, mengapa piaggio begitu terinspirasi untuk menggunakan bentuk ini tidaklah aku ketahui, mungkin bentuk ini menjadi pelengkap kepada bentuk Vespa 150 yang agak bulat. Speedometer dalam gambar diatas adalah "reproduction" daripada speedometer asli keluaran Veglia Borletti kerana Speedometer keluaran Veglia Borletti untuk vespa 150 sudah tidak dikeluarkan lagi, manakala horn berbentuk kerang dalam gambar juga adalah reproduction kepada horn asal keluaran ICET, juga amat sukar ditemui dan sudah tidak dikeluarkan lagi. Aku rasa sedikit bertuah kerana aku dapat membeli Speedometer dan Horn ini dengan harga yang agak murah daripada harga yang ditawarkan oleh scootRS, sila layari www.scootrs.com. Harga meter tersebut adalah RM 130 manakala horn tersebut berharga RM 25.


Thursday, June 17, 2010

Getah-Getah Vespa 150


Setelah melihat dan melawat beberapa laman di Internet yang menampilkan gambar-gambar Vespa 150 maka aku telah membuat keputusan untuk memilih getah-getah yang akan menghiasi Vespa 150 aku daripada warna kelabu, ini kerana dengan cadangan untuk mengecat Vespa 150 ku dengan warna putih maka warna kelabu merupakan warna yang agak bersesuaian kerana nampak lebih mulus dan suci (chewahhh!). Getah-getah ini telah dibeli sepenuhnya dengan bantuan kawan seperjuangan aku daripada RAG iaitu saudara matt, getah-getah ini sukar untuk didapati di kedai-kedai Vespa biasa di Kuala Lumpur kerana ianya berwarna kelabu dan apa yang ada dikedai kebanyakannya berwarna hitam. Saudara Matt telah membeli getah-getah ini di Karnival Vespa/Lambretta Kuala Kangsar dan juga di Golok, Thailand. Harga semuanya menghampiri RM100, namun aku berpuas hati kerana buatannya cantik dan getahnya pula adalah tebal. Berikut adalah senarai getah-getah Vespa mengikut nombor:-

1. Getah pelapik untuk ruangan diantara kaki di lantai Vespa.
2. Getah untuk lubang fuel cork.
3. Getah Gasket untuk horn.
4. Getah Gasket untuk penutup tangki minyak
5. Getah pemijak brake pedal
6. Getah pemijak untuk kick starter
7. Getah lining lantai (besi lining perlu dicari berasingan)
8. Getah gasket lampu belakang vespa 150
9. Getah side panel vespa.

terdapat satu getah lagi yang masih belum dapat dicari iaitu throtle grip yang berwarna kelabu.

Wednesday, June 16, 2010

Goodyear Wingfoot

Hari ini aku cuma ingin kongsikan apa yang aku jumpa pada tayar vespa bersaiz 8 inci yang akan aku gunakan untuk Vespa 150 aku, agak terkejut bercampur takjub apabila melihat tayar Goodyear Wingfoot bersaiz 8 inci masih lagi terlekat pada rim vespa 150 ini. Goodyear Wingfoot mungkin sudah tidak dikeluarkan lagi atau diimport ke Malaysia lagi dan dari paras rupa tayar ini sahaja sudah menunjukkan bahawa tayar ini telah berusia puluhan tahun. Goodyear Wingfoot diambil namanya daripada logo goodyear itu sendiri iaitu lambang kaki yang mempunyai sayap, membaca kisah Charles Goodyear iaitu orang yang menjumpai cara-cara pemvulkanan tayar membuat aku takjub yang mana usaha yang tidak henti-henti akhirnya akan membuahkan kejayaan juga. Walaupun syarikat Goodyear tiada kena mengena dengan Charles Goodyear (Syarikat ini hanya mengambil nama Charles Goodyear) nama Goodyear merupakan antara tayar terbaik didunia selain daripada Bridgestone dan Pirelli. Walaupun tayar ini sudah tidak boleh digunakan lagi kerana usianya, namun aku akan tetap menyimpan tayar ini sebagai koleksi barang antik ku.

Sunday, June 13, 2010

Dari Kedai Ah Ching Ke Kedai Ah Wai

Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa "Dont judge a book by it's cover", dan sememangnya Vespa 150 aku juga tidak terkecuali daripada pepatah ini, dari segi luarannya (bila disaluti dengan cat lama) tidak kelihatan satu pun kecacatan pada badan vespa ini, namun bila kesemua lapisan cat dibuang, barulah kelihatan satu persatu kecacatan seperti lubang-lubang kecil yang disebabkan oleh kekaratan dan juga parut-parut kesan daripada kimpalan sebelum ini, setelah dinasihatkan oleh Ah Ching, aku pun menghantar badan Vespa 150 ini ke kedai Ah Wai (kawan sepermainan Ah Ching) di Pandan Mewah yang mana kedai beliau terletak betul-betul dibelakang Hospital Ampang, Ketika sampai dengan wajah yang tidak berapa puas hati Ah Wai berkata "Sori la kawan, wa memang tak buat Vespa punya", aku terpinga-pinga sementara. Setelah itu aku pun memberitahu, bahawa Ah Ching yang menyuruh aku menghantar motor ke kedainya, dengan tersenyum Ah Wai pun menyuruh aku meletakkan sahaja badan Vespa 150 tersebut di tepi kedai beliau. Sementara menunggu Ah Wai menyudahkan motor lain aku pun berjaya menangkap gambar papan tanda kedainya, tertulis "Motor Spray Mudguard Printing Works", aku pun hairan sebab tidak kelihatan satu pun mesin mencetak dalam kedai beliau. Mungkin yang dimaksudkan oleh papan tanda tersebut adalah painting works tetapi tertulis printing works. Ah Wai pun memulakan misi menutup kecacatan-kecacatan kecil pada badan vespa aku, dengan pengalaman hampir 25 tahun menurut beliau dan rangkaian hampir 70 kedai motorsikal yang menghantar motor bagi kerja-kerja mengimpal di kedai beliau, Ah Wai melakukan tugas tersebut dengan penuh keyakinan, sambil Ah Wai bekerja, aku pun melihat-lihat disekitar kedai beliau dan kelihatan sebuah motor klasik berjenama Agusta buatan Itali yang belum menjalani proses restorasi. Ah Wai mengimpal dan kemudian mengetuk bahagian yang sudah dikimpal bagi membolehkan sahabat sepermainannya Ah Ching melakukan tugas seterusnya iaitu mengecat badan vespa ini. Setelah selesai mengimpal Ah Wai hanya mengenakan bayaran sebanyak RM 40 sahaja bagi kerja-kerja yang dilakukannya (Fuhh! selamat duit aku). Kemudian badan Vespa ini dihantar semula ke Pudu Spray bagi proses seterusnya.

Friday, June 11, 2010

Swing Arm Vespa Super 150

Vespa 150 yang aku restorasi ini memang tidak didatangkan dengan parts atau bahagian yang lengkap, oleh yang demikian aku perlu mencari sendiri bahagian-bahagian yang tidak lengkap tersebut bagi melengkapkan vespa ini, salah satu daripada bahagian yang tidak lengkap pada vespa ini adalah bahagian "fork" nya. Fork adalah bahagian yang memegang tayar depan dan sistem brake depan pada sesebuah vespa, disebabkan bahagian ini tiada aku terpaksa membelinya dan bukanlah mudah untuk mendapatkan fork vespa 150. Jika kita mengantikannya dengan fork vespa dari siri yang lain seperti vespa super maka ketinggian vespa tersebut akan berubah kerana fork vespa 150 adalah lebih pendek jika dibandingkan dengan vespa yang lain. Mujur ada seorang ahli forum scootering.com.my yang telah menjualkan fork vespa 150 tersebut pada aku, namun fork tersebut perlu pula dilengkapkan dengan swing arm (seperti dalam gambar) dan juga sistem brek. Setelah mengambil beberapa nasihat daripada beberapa orang pemilik vespa 150, maka swing arm daripada model vespa super 150 telah diambil bagi mengantikan swing arm vespa 150 kerana bentuknya hampir sama cuma apa yang perlu diganti adalah shaft berskru empat yang khas untuk vespa 150, maka sebelum swing arm ini dihantar ke kedai untuk dipasang dengan shaft tersebut maka swing arm ini perlu ditanggalkan daripada fork vespa super 150 dan dibasuh. Terdapat bearing (alas bebola) yang terdapat diantara swing arm dan batang fork dan bearing ini juga perlu direkodkan saiznya bagi memudahkan pengantiannya nanti.